Wednesday, August 25, 2010

Negara Islam, Sekular, Tak Ada

Oleh: Aqil Fithri

Polemik negara Islam lawan negara sekular sebetulnya adalah perdebatan klasik yang muncul akibat kedangkalan politik kepartian Malaysia saja - khususnya PAS, DAP dan Umno. Kita sudah lelah dengan kedangkalan sebegini.

Tatkala PAS, menerusi Nik Abdul Aziz Nik Mat mahukan negara Islam, DAP pula, khususnya Karpal Singh inginkan negara Sekular. Mereka bercakaran sepanjang waktu pada sesuatu yang sebenarnya "tidak ada." Hakikatnya, kedua-dua pihak sedang melakukan kesalahan yang memalukan.

Mungkin kata "salah" tampak radikal. Tetapi ternyata dua suara yang berseberangan ini tidaklah mewakili dari hasrat keseluruhan, atau sekurangnya-kurangnya hasrat sebahagian besar warga Malaysia itu sendiri.

Bagaimana untuk kita membuktikannya? Mari kita telusuri persoalan keabsahan hukum politik yang konon jadi wadah kebanggaan politik PAS dan DAP ini.

PAS, mahupun DAP, memang percaya dan sepakat bahawa jalur politik dalam konteks negara moden adalah pilihan mereka. Oleh kerana itu, mereka terlibat dalam sistem politik negara.

Mereka sepakat bahawa pilihan raya adalah bukti kepada "kebenaran" gagasan mereka. Dan, sama ada sebelum mahu pun setelah pilihan raya, suara-suara yang membawa kemenangan politik akan diangkat. Apa yang kita dengar: "PAS lebih rela ditolak rakyat daripada dimukai tuhan."

Namun, pada hakikatnya, mereka kembali pada rakyat juga.

Gagasan kabur

Maka, PAS menerusi makna politik sebegini pun mengumandangkan suara-suara Islam, yang kadang-kala ditempek dengan idea-idea demokrasi. Lalu, mereka memadankan demokrasi dengan Islam.

Melalui demokrasi, mereka cuba naik. Dan, melalui demokrasi sedia mereka turun. Dan ini satu perkara yang bagus tentang PAS.

Sementara DAP juga begitu. Mereka terus tegas dengan perjuangan sekularisme. Apakah sekular mereka ramah-agama atau antiagama? Itu tak pernah mereka tuntaskan.

Sama seperti PAS, yang tak pernah menuntaskan secara rinci gagasan negara Islamnya. DAP juga begitu, yang kabur gagasan sekularnya. Tetapi, bagi DAP, yang jelas, Malaysia bermula sebagai sebuah negara sekular.

Dan kebetulan hukum sejarah itulah yang ditafsirkan dalam perlembangaan negara, biarpun terdapat jaminan "agama rasmi negara adalah Islam."

Tetapi, dalam tak sedar, dua suara daripada dua parti politik yang berseberangan ini sebenarnya sama saja dalam sebuah kesendengan. Keduanya dangkal dalam mengerti hakikat politik itu sendiri.

Politik, sepertimana yang mereka wadahi, tak bererti melaksanakan suara sepihak. Tak bererti "kebenaran" (dalam takrif mereka) itu terletak pada "kami."

Sebaliknya, politik yang melampaui politik moden seharusnya juga melampaui hagemoni (termasuk hagemoni idealogi) serta meletakkan kembali suara "kita"sebagai sebuah keabsahan. Dan, akhirnya, yang tekal absah adalah "suara rakyat" itu sendiri, suara "kita!

Lalu, pertanyaannya, apakah benar rakyat bahawa Malaysia memang mahu negara Islam? Kedua-duanya, sama ada PAS mahu pun DAP, sampai kini belum membuktikan. PAS hanya bersandar pada demografi, manakala DAP bersandar pada perlembagaan.

Kehendak rakyat

Namun, kedua sandaran itu sudah pun terhakis keabsahannya. Tatkala rakyat berubah, demografi dan perlembagaan juga berubah.

Demografi takkan sama selamanya. Begitu juga perlembagaan, yang boleh diralat sesuai dengan kehendak baru masharakat warga. Maka, yang terus absah hanyalah suara rakyat sebagai suara keramat.

Dari perspektif politik moden, slogan "suara rakyat adalah suara keramat" itu ada benarnya, tetapi sering dimanipulasi. Sama seperti politik-agama yang sering memanipulasi agama demi kepentingan politiknya.

Selalunya, nama rakyat seakan berguna saat politikus tersepit atau saat sesebuah parti tersudut. Nama rakyat ibarat mahdisme yang bila diangkat dapat menyelesaikan segalanya. Namun, inilah juga tanda dari kegagalan politik moden.

Kegagalan inilah yang diwarisi dalam citra politik PAS dan DAP. Dua buah parti ini - sebetulnya semua parti di Malaysia - memang gagal untuk memahami jurang antara "kehendak rakyat" dan "pembentukan politik."

Buat parti-parti ini, keputusan pilihan raya adalah saat yang tepat untuk membolot segalanya selama lima tahun. Memang dangkal bila makna masharakat warga mula dipinggirkan, atau tidak cuba untuk difahami.

Kita kata dangkal, tatkala menyaksikan bagaimana kemuliaan Dewan Rakyat dipermainkan. Kita harus persoalkan kembali, apakah benar-benar Dewan Rakyat itu mewakili kehendak rakyat?

Apakah benar-benar setiap hukum yang digubal di Dewan Rakyat itu mewakili hasrat rakyat? Apakah benar-benar setiap suara di Dewan Rakyat itu suara rakyat?

PAS-DAP gigih bercakaran

Semuanya, jika disandar pada realiti dewasa ini, jawapanya tidak. Yang berlaku, suara Dewan Rakyat adalah suara elit politik. Atau lebih tepat, suara eksekutif semata-mata. Rakyat tak pernah diundang untuk terlibat merumuskan hukum.

Walhal hukum itulah yang akan dilaksanakan atas mereka. Rakyat hanya merasa terlibat sekali dalam lima tahun, hanya waktu pilihan raya. Hanya itu saja nilai buat rakyat (yang autonomi) yang konon menjadi "suara keramat" tersebut.

Dan, dengan yang "tidak ada" inilah PAS dan DAP meriah bermegah serta gigih bercakaran. Mereka semarak melaungkan kepentingan masing-masing, padahal keduanya tidak pun mengesahkan keabhsahan kepentingan mereka pada rakyat.

Sama seperti Umno, masing-masing PAS dan DAP juga terus merasa selesa dengan kesendengan mereka. Bagaimanapun, memang mengeluh tak memadai. Lalu, bagaimana untuk kita mengatasi kekurangan politik moden ini?

Justeru, kita mesti mulai akur bahawa setiap pandangan kita boleh saja dicampakkan ke ruang awam. Namun kita juga harus sedar bahawa itu tak bererti pandangan tersebut boleh terus dilaksanakan. Kita, biarpun atas nama politik-idealogi, tetap terus memerlukan keabsahan rakyat.

Selain dari keabsahan rakyat, yang lain akan terus saja bergulir. Inilah yang dimaksudkan sebagai "pembentukan politik dan kehendak rakyat."

Maka, tiada lagi kelompok yang terus kemaruk idealogi dan mahu melaksanakan idealogi satu pihak itu pada semua orang, tanpa memikirkan sisi komunikatif yang terdapat dalam masharakat warga.

Jadi, tentang gagasan negara Islam, mahu pun negara Sekular, atau apapun pun gagasan yang ingin ditawarkan, itu semestinya kembali pada pemugaran muafakat rakyat.

Berlagak dengan pandangan sepihak

Namun, untuk memugar muafakat ini tak mudah, tak juga murah. Tapi, inilah harga yang mesti dibayar untuk sebuah keabsahan. Muafakat hanya terbina dari proses wacana rakyat yang tak tercemar dengan kepentingan eksklusif. Sebaliknya, suara autonomi dari masharakat warga itu sendiri.

Lantas, mari kita bertanya: Apakah PAS dan DAP sudah memulakan proses ini? Tidak. Sampai kini, mereka asyik terbuai dengan mimpi-mimpi indah mereka.

Mereka akan terus saja bermimpi, dilambung seenaknya, sampai mereka sedar bahawa proses sebenarnya harus bermula dari bawah, dari rakyat, dari pendidikan, bukan dari atas, bukan dari elit, bukan dari jalan-pintas politik.

Maka, bagaimana untuk melakukan ini? Didiklah rakyat dengan gagasan mereka. PAS boleh mendidik rakyat tentang kepentingan hudud dan shariahnya. DAP, boleh mendidik rakyat tentang peri pentingnya negara sekular.

Kemudian, di tingkat masharakat warga, mereka akan terus-menerus menilai, dengan berhujah penuh kritis. Dan akhirnya pasti mereka akan dapat merasionalkan serta menerima salah satu, atau sebarang pilihan lain, dari gagasan-gagasan tersebut. Lalu, keabsahan akan peroleh tempatnya.

Tetapi, soalnya sekarang, PAS dan DAP kian berlagak dengan pandangan sepihak, seolah masharakat warga tak punya nilai. Dan, inilah yang akhirnya yang mendorong krisis menjadi lebih parah. Krisis tak lagi jadi kritik yang kreatif, sebaliknya jadi kutukan yang negatif.

Sudahnya, sebagai jalan pintas, mereka serakusnya cuba merangkul kuasa politik yang diragui keabsahannya, dan terus melaksanakan gagasannya yang tak-absah tersebut. Hasilnya, kemurnian dari masharakat warga yang jadi tapak pada keabsahan pun tercemar.

Maka, sebagai warga dari tanahair ini--yang kian tak merasa bahagian dari tanah dan air-nya--kita harus siap berkata "tidak" pada bentuk politik dangkal sebegini. Kita sebagai masharakat warga harus kembali menuntut jaminan untuk membantah.

Harus menagih kembali hak untuk terlibat dalam setiap keputusan politik tanahair, dan tanpa perlu menunggu lima tahun sekalipun. Serta, kita harus dibela untuk memiliki hak-hak ini. Jadi, inilah makna hakiki dari "rakyat yang memerintah dirinya sendiri.

Maknanya, rakyat yang mewacanakan hukum, rakyat yang mengangkat hukum untuk digubal. Dan rakyat juga yang menikmati hukum tersebut. Lalu, apa tugas Dewan Rakyat? Tugasnya adalah mendengarkan suara "kita", supaya tak berlaku anarkisme pada "kehendak rakyat." Hanya itu.

Dan, bukannya mereka pula bertindak mengabsahkan fasisme pada "pembentukan politik"!

Tuesday, August 24, 2010

BUKAN TUKAR AKIDAH

Oleh: Aspan Alias

Kesetiaan kepada negara merupakan salah satau tonggak kepada Rukun Negara. Kalaulah Rukun Negara dijadikan slogan yang dipakai sepanjang zaman mungkin kita tidak akan menghadapi masalah seperti yang menyelubungi kita sekarang ini.

Malangnya masing-masing Perdana Menteri manjadikan slogan sebagai motto pimpinan peribadi. Masing-masing mencipta slogan baru jika menjadi PM untuk membezakan kepimpinannya dengan kepimpinan yang sebelumnya.

Rukun Negara sudah jarang-jarang disebut kerana ianya mula dilupai sejak 5 atau 6 tahun selepas Dr Mahathir naik sebagai PM. Pada halnya Rukun Negara itu bukan dicipta oleh individu politik, tetapi merupakan ciptaan oleh pemimpin-pemimpin kita dari berbilang kaum secara konsesses guna membina semangat bersatu dikalangan rakyat berbilang kaum yang hidup dengan kesetiaan kepada negara yang tulin.

Saya masih ingat bagaimana Tun Abdul Razak mengumumkan pelancaran Rukun Negara yang saya sudah lupa tahunnya menekan yang Rukun Negara ini merupakan hasil dari perbincangan dan ‘soul searching’ yang mendalam dengan pemimpin semua kaum semata-mata untuk mewujudkan bangsa yang bersatu.

Kalau kita kaji dengan teliti Rukun Negara adalah diasaskan kepada kehendak Agama dan kepercayaan kaum yang begitu ‘diverse’. Rukun Negara mengakui yang setiap bangsa ada ‘attribute’nya masing-masing serta identitinya serta cara hidup dan budaya mereka sendiri.Dalam perbezaan-perbezaan inilah Rukun Negara menekankan untuk hidup mengenali diantara satu dengan lain serta menghormati puak-puak yang bersama-sama hidup dan negara yang bertuah ini.

Tuhan sendiri telah memfirmankan yang manusia itu dijadikanNya berpuak-puak dan berlainan diantara satu dengan lain untuk mengenali dan menghormati diantara satu puak dengan satu kelompok yang lain. Kalau kita belajar ‘sifat 20’ kita diberikan kenyataan yang jelas yang begitu saintifik yang sifat bersalah-salahan itu adalah asas yang nyata didalam penghidupan.

Salah satu cebisan yang disebut didalam ‘sifat 20’ itu ialah sifat bersalah-salahan. Katanya ‘ADA lawannya TIADA’. Dari sepotong ayat ini kita boleh belajar jika kita ada sikit-sikit kebijaksanaan. Maksudnya, jika tidak ada elemen panas, dimana kita dapat merasakan elemen sejuk misalnya. Kalau tidak ada perbezaan bagaimana kita hendak tahu dan memahami elemen persamaannya dan begitulah seterusnya.

Rukun Negara telah mempraktikkan apa yang dikatakan ‘addin’ atau cara hidup didalam Islam itu. Tetapi Rukun Negara yang menjadi fokus pimpinan telah diabaikan oleh pimpinan ‘post Husein Onn’ dan kalau kita tanya adik-adik yang muda-muda yang berumur dibawah 35 tahun ramai yang tidak ingat atau pun tahu tentang Rukun Negara ini.

Semasa Rukun Negara diberikan tumpuan buku-buku latihan dan rampaian anak-anak sekolah ada dituliskan semua kandungan Rukun Negara dan tidak ada murid semasa itu tidak hafal dengan kesemua prinsip Rukun Negara itu.

Rukun Negara yang begitu unggul digantikan dengan slogan yang tidak ada apa-apa munafaatnya. Pada tahun80an, Bersih Cekap dan Amanah menjadi slogan kita tetapi hasilnya tidak ada. Zaman itulah bermulanya rasuah mula bercambah dan ianya mula jelas dilihat sejak tahun 1984. Masing-masing mengambil kesempatan dengan kekayaan negara dengan mencuri wang rakyat dan jumlah yang terlibat bukannya kecil tetapi menjangjau jumlah yang berbillion ringgit. Bersihnya jelas tidak nampak malah mulai pudar.

Cekapnya pun entah dimana. Zaman itulah Bank Negara Malaysia (BNM) kerugian dalam perniagaan pertukaran wang asing sebanyak 36 billion ringgit, satu usaha yang sia-sia yang tidak sepatutnya dilakukan oleh sebuah bank pusat. Nor Mohammd Yakcop yang semasa itu menjadi ketua bahagian treasury BNM yang bertanggungjawab kepada kerugian besar yang tidak ada tolok banding besarnya. BNM terpaksa menjual harta benda untuk menunjukkan kerugian yang kecil dan akhirnya BNM mengumumkan kerugiannya hanya dalam lingkungan 9 billion ringgit.

Kalau ditanya kepada Nor Mohammad kenapa beliau melakukan perkara yang membazirkan kekayaan negara itu, jawabnya ‘standard’; “tanya PM’. Kerugian dalam ‘dealing’ Maminco melenyapkan wang rakyat sebanyak 600 juta ringgit Malaysia. Sebagai rakyat saya tidak boleh ditahan untuk berkata-kata demikian kerana negara ini rakyat yang punya dan saya adalah salah seorang dari rakyat yang sentiasa berdoa tentang kemakmuran negara ini.

Masa tidak mengizinkan saya untuk mengulas beberapa kejadian yang merugikan negara dizaman itu. Yang penting tidal ada kecekapan menguruskan kewangan negara seperti yang di slogankan itu.

Amanahnya pun tidak wujud. Bagi seseorang pemimpin yang betul-betul beramanah pucuk pimpinan mesti menyebelahi nasib rakyat. Tetapi dizaman inilah pemimpin yang diamanahkan menjaga masa depan rakyat terabai. Dasar-dasay yang diamanahkan rakyat dilacurkan dan kerajaan semasa itu hanya berminat untuk mengisi ‘tempolok’ mereka yang rakus memperkosa dasar-dasar yang baik dan digantikan dengan dasar untuk kepentingan sekelompok kecil kroni yang tamak dan haloba.

Dalam pada itu media dan pimpinan kebenak pemikiran rakyat yang setia kepada negara itu ada kesetiaan kepada UMNO. Kepada sesiapa yang tidak menyokong UMNO dianggap tidak setia kepada UMNO. Menetang pandangan pimpinan UMNO dianggap sebagai pengkhianat dan ini adalah penyelewengan yang tidak terhingga terhadap isu kesetiaan kepada negara.

Menjadi ahli dan penyokong kepada parti yang lain dari UMNO bagi orang Melayu merupakan satu kesalahan dan diboikot dalam masyarakat terutamanya dikampong-kampong.

Tetapi segala-galanya sudah berubah kerana rakyat sedar bahawa kalau dikaji dari sudut keasetiaan kepada negara, UMNO kini sudah dilihat sebagai parti yang tidak selari dengan kehendak negara dan banyak tindakkan pemimpinnya merupakan tindakkan yang ‘insubordination’ terhadap negara..

Perlakuan rasuah dikalangan kepimpinan UMNO menyebabkan kerosakkan kepada sistem pentadbiran negara dan akhirnya merosakkan fabrik politik dan sosial negara. Gejala rasuah menyembabkan kantung kewangan negara merosot dan rasuah juga membuatkan mereka menjadi pemimpin denganmembeli undid dan sokongan untuk berkuasa.

Salah guna kuasa oleh kepimpinan UMNO menyebabkan banyak pihak yang terinaya, terutamanya dalam bidang pembahagian peluang kekayaan dikalangan rakyat kerana hanya orang-orang yang berbaik-baik denga mereka yang berkuasa sahaja yang mengambil kesempatan yang akhirnya melahirkan sikap ‘cronyism’ yang sangat menebal.

Cebisan contoh-contoh yang dipaparkan tadi menjadi negara menjadi kelam kabut dan memberikan impak yang tidak sihat kepada negara. Rakayat semakin hari semakain bijak memberikan pertimbangan terhadap ‘conduct’ politik UMNO dan sekutunya.

Sejak sepuluh tahun yang lalu trend kesedaran dikalangan rakyat termasuk orang-orang melayu mula kelihatan. Sekarang rakyat sudah menganggap memberikan sokongan kepada UMNO dan sekutunya didalam BN merupakan tindakkan tidak setia kepada negara dan rakyat.

Orang ramai sudah mula menganggap membenarkan UMNO berkuasa bererti menggalakkan kegiatan rasuah dalam negara. Tindakkan UMNO mengungkit jasa-jasa UMNO dimasa lampau kepada negara sudah tidak dihiraukan lagi oleh rakyat .

Yang penting sekali untuk menyelamatkan harta benda rakyat dan negara berada didalam keadaan selamat dan terurus dengan baik bagi menjamin masa depan generasi mereka. Sudah mula terbit didalam pemikiran rakyat mebiarkan pemimpin UMNO memferaidkan harta rakyat dikalangan mereka merupakan tindakkan yang menzalimi diri kita sendiri.

Kali ini, jika rakyat memberikan pula kesempatan kepada PR untuk mentadbir negara, maka akan bermulalah sistem dua parti yang sangat-sangat diperlukan oleh rakyat bagi memberi tahu sesiapa yang berkuasa bahawa kuaa rakyat adalah elemen yang ‘ultimate’ dalam sesebuah negara yang mengamalkan demokrasi.

Jika PR rakyat pula yang gagal melaksanakan tugas mereka juga akan kecundang dan kuasa itu akan kembali kepada BN dalam pilihanraya selepas itu

Lain-lain perkataan yang dimaksudkan oleh artikel ini ialah hanya system dua parti sahaja yang boleh merongkai masalah kita hadapi yang tak kunyung selesai ini. "Sudah lama sangat menunggu UMNO untuk berubah, tapi tak berubah jugak" kata seorang kenalan saya baru-baru ini.

UMNO dan BN bukannya Agama yang tidak boleh ditukar ganti. Rakyat nampaknya hanya mahukan pertukaran WADAH bukannya bertukar AKIDAH.


Wednesday, August 4, 2010

Kisah Anak Pembesar Negara dan si Panglima Tua

Oleh: Khalid Samad

Pada suatu hari, di sebuah Negara yang telah lama ditelan zaman, seorang Panglima tua telah diarahkan untuk menemani anak seorang pembesar Negara dalam perjalanan bersiar-siar di waktu petang. Kedua-dua mereka menunggang kuda. Panglima tua menunggang kuda yang telah berkali-kali dipacunya di medan perang. Anak pembesar Negara pula dengan kuda putihnya, cantik dengan pelana bertaburan baru permata.

Sambil menunggang kuda, di mana Panglima tua mengekori di belakangnnya, anak Pembesar Negara melihat ke kanan dan kiri, menikmati keindahan kawasan hijau hutan temperat di sekeliling mereka. Dia seorang yang muda, belasan tahun dan dibesarkan di dalam suasana yang serba mewah. Mukanya licin, telapak tangannya lembut, seperti kebiasaan mana-mana anak pembesar yang jarang membuat kerja keras. Panglima tua pula jauh berbeza, mukanya terukir dengan pengalaman zaman susah dan zaman perjuangan. Tangannya besar, kasar dan berparut. Perbezaan di antara mereka bagaikan bezanya zaman mewah dan zaman susah, zaman peperangan dan zaman perdamaian. Oleh yang demikian, perjalanan mereka pada hari itu merupakan satu perjalanan yang tanpa perbualan, kerana sukar untuk mencari tajuk yang boleh dibualkan bersama.

Secara tiba-tiba anak Pembesar berhenti sambil menunjuk ke arah se pohon pokok yang besar dan tinggi. “Lihat di situ”, katanya kepada Panglima tua. “Ada sesuatu yang berkilauan di atas dahan pokok itu”, katanya lagi sambil bergegas turun dari kuda tunggangannya.

Panglima tua pun mendongak ke atas, melihat dengan matanya yang sudah letih melihat segala kedurjanaan dunia serta tipu helah dan muslihat manusia. Ya, ada sesuatu yang berkilauan, jauh di atas hampir di puncak pokok tersebut. Dia menoleh pula ke anak pembesar Negara dan terkejut apabila mendapati bahawa dia sudah berada di bawah pokok berkenaan, menghentak-hentak kedua kakinya sambil melaung, “saya inginkan kamu, wahai yang berkilauan, mari, turunlah kamu ke pangkuan aku”. Anak pembesar Negara terus melaung dan merengek, menghentak-hentak kakinya, mendongak ke atas, langsung tidak menghiraukan si Panglima tua.

Si Panglima tua terfikir kepada dirinya sendiri, “Hmmm, mentang-mentang kamu anak Pembesar Negara, kamu ingat semua akan ikut kata-kata kamu?” Sambil menggeleng kepala, beliau turun dari kudanya dan melihat kepada pokok yang di atasnya terdapat barang berkilau tersebut. Panglima tua sedar bahawa sekiranya anak pembesar Negara tidak mendapat apa yang diinginkan, sudah pasti bapanya akan memarahinya. Itulah sebab mengapa mereka berada di sini, pada waktu yang sudah hampir senja, dalam cuaca yang semakin sejuk, semata-mata kerana itulah kehendak anak Pembesar Negara. Dan sepertimana kebiasanan, apa yang dihajatkannya, dia mesti dapat! Dan itulah tugas Panglima tua, untuk mendapat apa sahaja yang diinginkan budak yang terlalu dimanjakan oleh ayahnya.

Panglima tua melihat kepada pokok tersebut, betapa besarnya lilitan batang pokok itu, betapa kukuh kelihatan dahan-dahannya serta betapa licin permukaannya disebabkan lumut yang sudah mulai tumbuh. Beliau melihat ketinggian pokok berkenaan dan terpandang seolah-olah ada yang bergerak di atas sana. “Seekor burung agaknya”, katanya kepada dirinya sendiri. Tanpa berfikir panjang, Panglima tua membuka sebahagian dari pakaiannya, memasang tapak bergigi besi dikasutnya dan memegang sebilah pisau kontot di tangan kanan dan sebilah lagi di tangan kirinya. Pedangnya tetap berada di pinggangnya dan pada masa yang sama, dia meletakkan lilitan tali bagaikan selendang di bahunya.

Setelah membaca “Bismillah”, dia terus menuju ke pokok berkenaan dan memanjatnya. Pisau kontot digunanya untuk mendapat pegangan yang mantap dan kukuh sambil kasut bergigi besi menjamin beliau tidak tergelincir disebabkan kelicinan lumut.
Sambil Panglima tua memanjat, anak Pembesar Negara terus merengek di bawah sana. “Saya nakkan benda berkilau itu!” katanya sambil melompat-lompat bagaikan anak kecil yang mengamuk tidak mendapat gula-gula. Dia terus menangis sambil melambai-lambai tangannya dan meratib ayat yang sama berulang kali, “saya nakkan benda berkilau itu!”

Sambil itu Panglima tua terus memanjat sehingga ke peringkat pertengahan pokok tersebut tanpa menghiraukan rengekkan anak Pembesar yang berada di bawah. Dia melihat ke atas dan tersenyum, sambil berkata, “usaha memanjat kamu tidak sesukar yang dianggarkan semasa aku berada di bawah, wahai si pokok”. Seperti biasa, semua cabaran kelihatan sukar, sehingga kita usahakan secara terancang. Sejurus sahaja beliau berkata sedemikian, tiba-tiba ternampak seekor ular besar di sebelah kirinya. Selama ini ular itu bersembunyi di sebatang dahan yang rimbun yang ditutupi daun. Ular itu menyelar dengan cepat ke arahnya, melilit kaki kirinya, menuju ke badannya.

Anak Pembesar Negara yang melihat peristiwa ini terus menyahut, “Jangan apa-apakan ular tersebut! Ia penjaga benda yang berkilau. Berbaik-baiklah dengannya!” Sebaliknya Panglima tua tahu bahawa ular besar itu akan melilit tubuhnya dan mencengkamnya sehingga patah-patah tulang rusuknya. Selepas itu ular tersebut akan menelannya! Menyedari dirinya dalam bahaya, Panglima tua segera melepaskan pisau kontot yang di tangan kanannya dan dengan tangan yang sama, menghunuskan pedangnya dan memenggal kepala ular tersebut. Bangkai ular itu terlepas jatuh, terhempas ke bumi.

Anak Pembesar Negara terkejut mendengar bunyi terhempasnya bangkai ular berkenaan. Dia berhenti seketika, menggaru kepalanya. Dia segera pergi ke bangkai tersebut dan selepas beberapa saat, kembali merengek sambil berkata, “Apa yang kamu buat ini? Bukan ini yang aku inginkan wahai Panglima tua! Dahlah tua, bodoh pula! Aku inginkan benda yang berkilau itu! Marilah sini wahai yang berkilau. Indahnya kamu wahai yang berkilau ke biru-biruan dan ke hijau-hijauan! Marilah sini, aku inginkan kamu!”

Panglima tua tersentak dengan kata-kata kasar dan biadap anak Pembesar Negara. Namun memandangkan dia pun sudah hampir mencapai benda yang berkilauan tersebut, dia meneruskan usahanya. Bila tibanya ke puncak pokok dia mencapainya. Ianya seutas rantai emas yang mempunyai sebiji permata berlian yang besar. Dengan hati-hati dia mengikat rantai tersebut dengan tali yang dibawanya tadi dan menghulurkannya ke bawah, ke tangan anak Pembesar Negara yang terus menjerit keseronokan. “Ianya rantai yang mungkin telah diterbangkan ke sini oleh seekor burung. Mungkin diambilnya dari sebuah istana yang tidak jauh dari sini” fikir Panglima Tua. “Sudah pasti pemiliknya cuai dalam menyimpannya dan oleh itu ia disambar burung. Si anak pembesar Negara juga seorang yang cuai. Besar kemungkinana dia akan kehilangannya juga”, fikirnya lagi sambil tersenyum.

KESIMPULAN

Rantai emas berpermata berlian dalam kisah ini menggambarkan kepimpinan.
Anak Pembesar Negara adalah ahli, penyokong dan pemimpin PAS yang inginkan PAS memperolehi kepimpinan tersebut, khususnya memimpin PR, tetapi hanya mampu menuntut dan mendesak dengan seruan “PAS mesti memimpin PR, PAS mesti memimpin PR”. Mereka menganggap kepimpinan ini boleh dimilikki dengan begitu sahaja, iaitu dengan tuntutan, desakan dan tindakan merengek.

Panglima tua pula bolehlah diumpamakan sebagai ahli, penyokong dan pemimpin PAS yang memahami bahawa kepimpinan mesti dimilikki dengan usaha ‘memanjat pokok kehormatan’ yang di puncaknya terletak kepimpinan yang diinginkan. Memanjat pokok kehormatan ini bererti menawan hati rakyat melalui usaha dan tindakan sehingga PAS disanjung tinggi dan dihormati. Ini memungkinkan rantai emas berpermata berlian diperolehi. Untuk memanjatnya, PAS mesti mempunyai kelengkapan dan pendekatan yang tepat. PAS mesti sedar betapa licinnya permukaannya, mana dahan yang kukuh serta mana pula ranting yang rapuh. Silap pijak, maka akan terjatuh atau tergelincir kembali ke bawah. Pendirian dan prinsip yang dilaungkan mesti dizahirkan melalui amalan dan pendirian. Dalam masa yang sama ia mesti tepat dan tegas serta kukuh, seperti kukuhnya pisau kontot yang terpacak ke atas pokok tersebut, tidak berubah-ubah dan ‘flip flop’. Barulah rakyat akan percaya dan hormat apa yang diperjuangkan.

Ular yang menyelar dan ingin ‘bersatu’ dengan Panglima tua itu tidak lain dan tidak bukan ialah UMNO. Ular itu hanya mengendahkan Panglima tua apabila beliau sudah berjaya memanjat pokok ke tahap yang tinggi. Semasa Panglima tua di paras tanah, ular tersebut tidak menghiraukan beliau. Ianya samalah seperti UMNO. Hanya ingin ‘berkawan’ bila PAS sudah dipandang tinggi dan mencabar kedudukan mereka.

Walaupun anak Pembesar Negara meminta Panglima tua berbaik dengan ular berkenaan, kerana yakin ular itu adalah pemilik rantai tersebut, Panglima tua yang berpengalaman itu tahu bahawa rantai tersebut akan hanya dimiliki dengan memenggal kepala ular itu. Ada yang menganggap UMNO adalah pemilik kepimpinan Negara, buat selama-lamanya. Oleh itu, cara PAS untuk memiliki kepimpinan, mesti melalui berbaik-baik dengan UMNO. Sebenarnya UMNO yang menghalang PAS dari mencapai kepimpinan itu dan usaha bekerjasama dengan UMNO akan menghancurkan PAS, dari dalam dan dari luar.

Kesimpulan dan rumusan lain bolehlah tuan-tuan perolehi sendiri dari kisah di atas. Yang penting, harapan saya, biarlah PAS kekal merancang, berusaha dan bersabar sepertimana yang telah ditunjukkan oleh Panglima tua tersebut dan jangan sekali-kali tergopoh-gapah seperti anak pembesar Negara yang tidak memahami erti perjuangan.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD