Thursday, July 29, 2010

Subsidi untuk rakyat dipotong, Subsidi untung IPP dikekalkan

Oleh: Neo Chee Hua

Baru-baru ini, Petronas merungut kerana terpaksa menanggung beban subsidi gas sejumlah RM116 bilion, malah menyatakan harapannya agar kerajaan menunaikan janji untuk memansuhkan subsidi secara beransur-ansur. Di samping itu, sementara Perdana Menteri Najib Razak mengumumkan potongan subsidi minyak, gas dan gula, subsidi kepada korporat dikekalkan sebaliknya, memberi manfaat yang terbesar kepada penjana kuasa bebas (IPP).

Sesetengah orang menuding jari terhadap IPP, lantaran daripada double standard yang diamalkan oleh PM Najib dalam isu subsidi. Dalam satu kenyataan oleh Persatuan IPP pada 21 Julai 2010, mereka menafikan bahawa IPP menerima manfaat daripada subsidi gas, sebaliknya mendakwa bahawa manfaat ini disalurkan kepada pengguna melalui Pass-through mechanism.

Menurut Persatuan IPP, dalam model operasi IPP yang sedia ada, harga gas ditetapkan oleh kerajaan, dan gas ini dibekalkan kepada IPP. Dalam hal ini, IPP yang menandatangani kontrak dengan TNB (Tenaga Nasional Berhad), hanya berperanan sebagai pembekal eletrik, dan tidak terlibat dalam hal ehwal pengguna.

PPA yang berat sebelah

Bagaimanapun, kenyataan Persatuan IPP ini hanya benar secara luarannya. Sememangnya IPP tidak memperolehi manfaat kewangan secara langsung daripada subsidi gas ini, tetapi IPP telah mengaut keuntungan yang besar secara tidak langsung daripada subsidi gas ini. Pada hakikatnya, Perjanjian Pembelian Tenaga (Power Purchase Agreement, PPA) antara kerajaan, TNB dengan IPP menjadi punca kepada mekanisme subsidi ini.

Seandainya dilihat dari struktur sektor bekalan elektrik secara menyeluruh, TNB adalah pembekal elektrik yang utama, dengan kira-kira 60% aset kilang penjana elektrik di Semenanjung Malaysia, dan 55% aset kilang penjana elektrik di seluruh Malaysia. Sementara itu, IPP menguasai 40% aset kilang penjana elektrik di seluruh Malaysia, di samping 5% yang selebihnya dimiliki SESB di Sabah dan SESCo di Sarawak.

Sektor elektrik merupakan pengguna terbesar dalam pasaran gas semulajadi. Menurut laporan kewangan Petronas pada tahun 2009, 59.7% gas semulajadi disalurkan kepada sektor elektrik, dan kira-kira dua pertiga daripadanya pula dibekalkan kepada IPP. Jikalau dilihat mengikut nisbah, IPP merupakan unit penerima subsidi gas yang terbesar dalam sektor elektrik.

Menurut maklumat daripada laporan kewangan Petronas pada tahun 2007, Petronas telah menanggung beban subsidi gas sebanyak RM58.2 bilion untuk sektor elektrik mulai tahun 1997. RM27.6 bilion (47%) daripadanya dibekalkan kepada IPP, sementara TNB memperolehi subsidi gas sebanyak RM21.2 bilion (37%). Malah, RM9.4 bilion (16%) yang selebihnya, dikongsi oleh perusahaan kecil dan sederhana, bidang komersial dan rumah tangga. Jelas, IPP memperolehi subsidi gas yang tertinggi.

Petronas kini membekalkan gas semula jadi kepada sektor elektrik pada harga RM6.40 per mmBtu (Million Metric British Thermal Units), selepas subsidi. Menurut harga antarabangsa pada pertengahan Julai, harga pasaran gas semulajadi adalah USD 4.39 atau RM14/mmBtu. Dengan kata lain, IPP membeli gas semula jadi dengan harga RM7.60 (55%) lebih rendah daripada harga pasaran, selepas subsidi yang sudah tentu tidak kecil angkanya.

Subsidi menguntungkan IPP

Seandainya mengikut kenyataan Persatuan IPP, manfaat daripada subsidi akan dialihkan kepada pengguna melalui Pass-through mechanism. Pada hakikatnya, keadaan tidak berlaku sebagaimana yang diperkatakan. Setelah membeli gas semulajadi dengan harga yang lebih rendah dari pasaran, IPP tidak membekalkan elektrik kepada TNB dengan harga rendah, sebagaimana yang dijangkakan. Sebaliknya, IPP menjual elektrik dengan harga yang lebih tinggi kepada TNB, lantas mengaut keuntungan berganda daripadanya.

TNB terpaksa membeli kuasa elektrik daripada IPP dengan harga yang lebih tinggi, kerana terikat dengan PPA, wahal kos TNB untuk menjana elektrik sendiri jauh lebih rendah daripada kosnya membeli dengan IPP. Akhirnya, beban peningkatan kos TNB dipindah kepada pengguna, apabila TNB meminta agar kerajaan meluluskan kenaikan harga elektrik. Dengan kata lain, pengguna bukan sahaja tidak dimanfaatkan daripada subsidi, sebaliknya menanggung kos untuk membeli elektrik daripada IPP.

Lebih-lebih lagi, syarat-syarat yang berat sebelah dalam PPA telah mencungkil pertikaian. Jeff Rector, seorang pengkaji dari Universiti Stanford di bawah The Program on Energy and Sustainable Development, pernah mengemukakan satu laporan berjudul The IPP Investment Experience in Malaysia pada tahun 2005. Menurut laporan tersebut, syarat take or pay yang digariskan dalam PPA menyatakan bahawa TNB bertanggungjawab untuk membiayai kuasa elektrik IPP, sama ada bekalan tersebut diperlukan atau tidak.

Menurut laporan ini, kesemua IPP fasa pertama menjana kuasa elektrik dengan gas semulajadi, yang dibekalkan Petronas secara khususnya. Syarat PPA menyatakan bahawa risiko kenaikan kos gas semulajadi ditanggung sepenuhnya oleh Petronas. Malah, dalam PPA untuk IPP fasa pertama, bekalan elektrik ditetapkan pada harga antara 13.7 sen dengan 15.5 sen per kilowatt-hour, jelas lebih tinggi daripada kos yang dihasilkan TNB sendiri.

Harga ini ditetapkan dengan mengambil purata anggaran inflasi untuk tempoh 21 tahun. Maka dengan ini, untuk beberapa tahun pada peringkat awal secara khususnya, IPP akan mengaut keuntungan yang besar, dan keuntungan akan berkurang apabila sampai ke peringkat akhir tempoh 21 tahun ini. Malah, IPP berpeluang untuk menjelaskan kos permulaannya (modal) pada peringkat awal tempoh 21 tahun ini, dan terus menikmati keuntungan setahun demi setahun kemudiannya.

Selain itu, Jeff Rector mendedahkan bahawa lima buah IPP fasa pertama dijamin dengan pulangan 20%, dalam perjanjian konsesi ini. Tetapi, IPP ini memperolehi pulangan yang lebih tinggi pada akhirnya.

IPP menjadi beban TNB

Manfaat sebagaimana yang disebut di atas tidak dikecapi oleh IPP fasa kedua, apabila PPA menyatakan bahawa risiko kos kenaikan harga bahan bakar ditanggung bersama oleh TNB dan IPP. Namun demikian, syarat take or pay tetap dikekalkan, iaitu TNB wajib membeli kuasa elektrik daripada IPP, sama ada perlu atau tidak. Syarat inilah yang menjurus kepada masalah 40% lebihan kapasiti elektrik (unutilized capacity), yang dihadapi oleh TNB.

Jelas, IPP menjadi beban TNB. Dalam satu wawancara bersama Business Time, yang disiarkan pada 2 Mac 2009, bekas Ketua Pegawai Kewangan TNB, Izzaddin Idris (gambar kanan) berkata, setinggi 80% kos operasi TNB dalam laporan kewangan tahun 2008 digunakan untuk membiayai IPP, perlombongan arang dan gas semulajadi yang dibekalkan Petronas. Antaranya, RM8.7 bilion digunakan untuk membiayai IPP, dengan RM4.8 bilion daripadanya untuk bekalan elektrik.

Izzaddin Idris berkata, TNB akan memperuntukkan RM5 bilion untuk hasilan kuasa elektrik pada tahun kewangan 2009, dan kos ini dijangka akan bertambah pada masa depan.

Ringkasnya, dalam isu subisidi gas dan bekan elektrik, IPP menjadi penerima manfaat terbesar, sementara Petronas, TNB, kerajaan, malah rakyat perlu menanggung kerugian akibat daripadanya. Subsidi tidak menguntungkan rakyat, yang sebaliknya perlu menanggung kosnya kerana penyelewengan dalam hasilan elektrik.

*Neo Chee Hua ialah Assistant Editor MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Analisa asal dalam edisi bahasa Cina disiarkan pada 23 Julai 2010. Disedut, diterjemah dan disunting oleh Lim Hong Siang.

Monday, July 26, 2010

SIMISKIN SUBSIDI SIKAYA

Oleh: Lim Chun Piao | Jul 21, 2010 06:39:46 pm

Kenaikan harga, atau "penyelarasan" sebagaimana yang disebut dalam akhbar menjadi tumpuan ramai baru-baru ini. Kerajaaan masing-masing mengetengahkan pakej ransangan ekonomi sebagai reaksi kepada tsunami ekonomi global pada tahun 2008, seolah-oleh pengikut setia John Maynard Keynes, pakar ekonomi yang terkemuka.

Dalam tempoh dua tahun sahaja, masing-masing terasa sesuatu yang tidak kena pada tempatnya, segera menjauhkan diri daripada roh John Maynard Keynes, dan mula membincangkan pengetatan fiskal (fiscal tightening). Seiring dengan pola global ini, kerajaan Malaysia juga beralih daripada dua pakej ransangan ekonomi, kepada formula naik harga pada hari ini.

Sememangnya kita sedar bahawa subsidi berlebihan akan menjejaskan keseimbangan bekalan-keperluan dalam pasaran. Kini, kita ingin tahu, ke manakah wang yang dijimatkan selepas kerajaan BN mengurangkan subsidi?

DAP yang sentiasa "mendampingi rakyat" semestinya akan bersuara untuk rakyat. Bermula daripada pemberian dana kepada warga emas oleh Ketua Menteri Lim Guan Eng, sehinggalah adik-beradik Nga-Ngeh yang mempertikaikan ke mana perginya wang petroleum sejumlah RM592 bilion... yang semestinya akan meredakan kemarahan warga emas.

Defisit meningkat; Hutang melambak

Pada hakikatnya, "sudsidi" yang mampu dibiayai kerajaan sekian lama ini, bertukar menjadi dosa yang dituding jari selepas kenyataan "bankrap" oleh Idris Jala, Menteri Jabatan Perdana Menteri. Jika dilihat dari sekarang, kenyataan tersebut lebih merupakan hujah memanaskan badan untuk memberi laluan kepada kenaikan harga pada hari ini.

Selepas kemelut ekonomi pada tahun 1998, Perdana Menteri pada ketika itu, Mahathir Mohamad melaksanakan langkah seperti "capital control" (kawalan modal) dan sebagainya. Tetapi, apakah harga yang kita bayar? Jawapannya boleh dibaca dari kenyataan Idris Jala, defisit negara telah bertambah dari RM5 bilion pada tahun 1998, kepada RM47 bilion pada tahun 2009. Hutang negara kita pula meningkat daripada RM90 bilion pada tahun 1997 kepada RM 362 bilion pada tahun 2009, menyaksikan pertumbuhan pada kadar 12% mengikut tahun.

Seandainya dihitung mengikut populasi yang mencecah 27.5 juta orang, maka secara puratanya setiap warga Malaysia memikul beban hutang sebanyak RM13,164 seorang. Dengan kata lain, kerajaan kita menjadikan daya produk rakyat pada masa depan sebagai "jaminan", untuk meminjam hutang dari negara asing melalui bon kerajaan, yang akhirnya menjurus kepada lambakan hutang. Akibatnya, kerajaan dengan sewenang-wenangnya menggunakan wang masa depan rakyat, yang wujud dalam bentuk "pinjaman hutang" pada masa sekarang. Kini, Najib pula menasihatkan rakyat bahawa subsidi akan dikurangkan, ubahlah cara hidup kamu!

Pada hakikatnya, beliau harus lebih jujur untuk mendedahkan kepada rakyat: perbelanjaan yang ditampung dengan defisit oleh kerajaan telah dihabiskan melalui projek mega sejak zaman Mahathir. Wang masa depan yang dimiliki rakyat, kebanyakannya bukan digunakan sebagai subsidi, tetapi untuk men-subsidi kroni yang menyembunyi di sebalik projek gajah putih.

Kita semuanya tahu bahawa sumber ada hadnya. Gerombolan BN telah menghabiskan sumber negara secara melampau, dan penipuan ini bakal terburai pada suatu hari nanti. Dalam zaman ekonomi yang tidak menentu, lebih banyak buih yang bakal berpecah. Kumpulan berkepentingan yang berada di gelanggang mula gelisah, kerana mereka mungkin kehilangan segala-galanya sebaik sahaja permainan ini tamat.

Yang miskin subsidi yang kaya

Mungkin tiada orang yang menemui kekotoran yang ada di dalamnya, semasa ekonomi mengalami pertumbuhan pesat, seperti zaman akhir 1980-an dan awal 1990-an. Selagi keluaran negara kasar (KNK) melambung, maka keghairahan untuk menjana pembangunan ekonomi dengan pinjaman hutang boleh diteruskan.

Persoalannya, kroni dan kelas politik-ekonomi ini mula menyedari bahawa formula ini tidak dapat beroperasi apabila ekonomi diperlahankan, malah gagal menampung keperluan kumpulan berkepentingan yang semakin berkembang. Jadi, macam mana?

Akhirnya, cukaikan rakyat secara langsung dengan mengurangkan subsidi kepada pelbagai keperluan asas. Polisi monetari yang sekian lama ini kekal pada kadar faedah rendah, dinaikkan baru-baru ini, menyebabkan harga barang melambung tinggi. Kadar faedah simpanan lebih rendah daripada kadar inflasi sebenarnya. Maksudnya, nilai "wang simpanan ditambah faedah" menjadi kurang berikutan kadar inflasi yang lebih tinggi. Maka, ia seolah-olah cukai yang dikenakan ke atas rakyat jelata, atau dengan kata lain, yang miskin men-subsidi yang kaya.

Selain itu, cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang dilewatkan pelaksanaannya, bakal mencekik lebih ketat leher rakyat. Mungkin inilah yang dimaksudkan oleh UMNO sebagai pengagihan yang adil, apabila kerajaan mengagihkan "faedah pinjaman" yang telah dibelanjakan sewenang-wenangnya kepada rakyat jelata tanpa mengira kaum dan kelas.

"Pengagihan yang adil" ini mungkin boleh melegakan kumpulan berkepentingan pada jangka pendek, tetapi bakal menamatkan hayat mereka untuk jangka panjang. Menyembuyikan pertentangan dalaman dengan inflasi bakal mengundang malapetaka kepada dirinya. Ini masalah sebenar yang dihadapi kerajaan BN, dan juga dilema Najib.

*Lim Chun Piao ialah kolumnis MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Diterjemah dan disunting oleh Lim Hong Siang dari teks asal.

Monday, July 19, 2010

STRATEGI NAJIB MENJELANG PRU 13

Oleh: TT

Ada tiga pekara yang wajib dilakukan oleh kerajaan Najib Rosmah. Tiga pekara ini wajib dilakukan untuk menyelamat harta kekayaan dan kuasa mereka dari di rampas kembali oleh kuasa orang ramai.

Tiga pekara ini bukan terlalu susah untuk difikirkan. Malah ianya tidak memerlukan batuan penasehat zionis APCO untuk memunculkan perancangan. Kita sendiri boleh memikirkan tiga pekara ini tanpa memerlukan ijazah PPE dari Oxford. Tahap jaguh kampong dan gedebe politik seperti Ibrahim Ali pun sedar hal ini.

Tiga pekara ini ialah :

1 - Anwar Ibrahim mesti di ketepikan
2 - Parti Pas wajib dipisahkan dari Pakatan Rakyat
3 - Propaganda untuk menghuru harakan Parti Keadilan Rakyat wajib diperbesarkan

Ketiga-tiga pekara ini wajib berjalan sarentak. Untuk kerajaan Najib Rosmah tiga pekara ini lebih penting dari dasar ekonomi baru atau model ekonomi baru. Lebih penting dari dasar luar negara. Lebih penting dari Rancangan Malaysia ke 10. Kerana rancangan ini bagitu penting sekali maka kerajaan Najib Rosmah akan menjanjikan apa saja untuk memastikan tiga pekara ini dapat direalisasikan.

Kerajaan Najib Rosmah tahu, sedar dan merasakan bahawa susuk Anwar Ibrahim memainkan peranan yang amat penting dalam ikatan setiakawan Pakatan Rakyat. Dengan adanya susuk Anwar maka Pakatan Rakyat dapat berdiri teguh. Mengikut pandangan Najib Rosmah jika Anwar ‘diketepikan’ maka Pakatan rakyat akan londeh terbarai. Sama ada ini hakikat atau sebaliknya bukan penting. Yang penting inilah persepsi politik mereka. Politik bukan kebenaran – politik ialah persepsi.

Apa yang kita lihat hari ini - apa yang sedang berlaku di lanskap politik negara ialah gerak kerja jentera dan aparacik politik Najib Rosmah sedang menjalankan tugas untuk meminggirkan Anwar.

Dalam strateji politik langkah pertama sebelum musuh diserang ialah melahirkan satu imej buruk musuh. Ini penting untuk mengolah persetujuan orang ramai. Ketika perang dunia kedua dahulu, tentera Jepun digambarkan bermata sepet , bergigi jongang membawa pedang samurai. Sesudah perang tamat Jepun dilihat sebagai kawan dan rakan berniaga yang baik. Memunculkan imej hodoh ini amat penting. Jika imej telah buruk maka apa sahaja yang diperkatakan terhadap Anwar akan di yakini umum.

Langkah pertama ialah mengkaitkan Anwar dengan lubang berak Saiful. Ini juga bukanlah satu langkah yang bijak bergeliga. Menggunakan lubang berak Saiful telah di tujah dan diteroka lebih awal lagi oleh Mahathir Muhamad pada tahun 1998 dahulu melalui lubang berak Azizan.

Apabila Saiful diberitakan tidak terberak selama dua hari kerana menyimpam bahan bukti didalam juburnya maka tahap jenaka dan genre lawak Melayu telah melonjak tinggi. Rating Lebai Malang dan Pak Pandir berkemungkinan jatuh. Apek Ganja telah menjadi lawak basi. Lubang Saiful naik ke mercu kegemilangan.

Seluruh Malaysia telah senyum puas. Kemudian dengan tetiba warga se Tanah Melayu menjadi hairan dan tertanya-tanya siapakah agaknya yang menuliskan kata bual yang bagitu bodoh untuk si Saiful ini.

Seperti kes lubang berak Azizan , kes lubang Saiful ini juga telah tergelincir. Kelihatan propaganda berbentuk ini telah menjelak dan menjelikkan orang ramai. Ini mula disedari oleh Najib Rosmah. Propaganda lubang berak Saiful yang dirancang untuk memburukan Anwar telah menjadi lawak bodoh dan sedang melawan tuan.

Dengan cepat para aparacik dan jentera Najib Rosmah bergerak. Kali ini wajib dimunculkan satu lagi strateji baru – ajen asing.

Harus di sedari bahawa surah – ajen asing – ini juga telah mula muncul pada tahun 1998 dahulu. Ketika itu duta Amerika ke Malaysia ialah John R Malot. Dalam kes pertama tahun 1998 dahulu memang telah disebarkan surah bahawa Anwar Ibrahim ini adalah ajen CIA. Apabila berita ini tersebar kerajaan Amerika telah mengambil langkah yang tepat.

Menurut Pak Duta John R Malot – kerajaan Malaysia telah diberi amaran bahawa : sila jangan campur adukkan kerajaan Amerika dengan krisis dalaman politik Malaysia. Bila amaran ini sampai maka surah Anwar ajen Amerika pun mati tak berasap.

Pasti pekara yang sama juga telah terjadi sekali lagi kerana dengan tetiba sahaja media gerombolan hari ini tidak lagi melaung-laungkan surah ajen asing ini. Pentabiran di Rumah Puteh melihat apa yang berlaku sekarang ini sebagai krisis dalaman – tidak ada sangkut paut dengan jabatan risikan mereka. Justeru apabila dikaitkan Anwar dengan CIA maka pasti pentabiran Obama ini , seperti tahun 1998 dahulu telah mengambil pendirian yang sama.

Langkah kedua yang sedang di jalankan oleh aparacik dan jentera Najib Rosmah ialah memastikan parti Pas akan meninggalkan Pakatan Rakyat. Ini adaklah langkah yang amat stratejik dan penting. Kerajaan Najib Rosmah membaca jika Pas dapat dipisahkan dari Pakatan maka dengan segera Pakatan rakyat akan luntur dan pecah.

Kita harus menyedari bahawa walau pun Pas mengakui parti Islam – ini tidak memiliki apa-apa makna yang hakiki dalam politik. Kita semua boleh mengakui bermacam macam. Dalam politik yang di rebutkan bukan Allah, Yahwe atau Siddarttha. Politik ialah perjuangan untuk merebut kuasa. Kuasa diperlukan untuk memastikan lubuk kekayaan dimiliki. Apabila lubuk kekayaan telah dimiliki maka disinilah akan diuji sama ada parti itu bermazhab Sosialis atau Kapitalis.

Dalam dunia hanya ada dua sistem ekonomi – kapitalis atau sosialis. Dua sistem ini adalah sistem induk. Selainnya – yang mengakui sistem ini dan sistem itu - hanya pecah-pecahan dari dua sistem ekonomi ini. Seperti kueh bahulu – asasnya adalah tepung, gula dan telor. Warna, corak, reka bentuk hanya tokok tambah untuk mengolah keinginan orang ramai.

Dalam sistem ekonomi kapitalis ini ada pemimpin Pas yang akan , yang telah dan yang sedang tewas dengan kuasa dan harta kekayaan. Contohnya kes cerai berai bekas Adun Pas dengan isteri keduanya. Sang isteri sedang menuntut berjuta-juta ringgit. Ini kerana sang isteri tahu – ketika bergomol mesra - bahawa sang suami ketika berkuasa dahulu pasti ada tanah disana dan tanah disini - ada saham ini dan saham itu. Ini realpolitik. Ianya tidak pula bermakna kita merendahkan keyakinan mereka terhadap Yang Maha Esa.

United Malays National Organisation sedar hal ini. Pas bukan mengajukan sistem ekonomi alternatif kepada kapitalisma. Pas seperti PKR dan DAP hanya berjanji untuk menguruskan kapitalisma dengan lebih baik. Asas sistemnya masih kapitalisma. Ini hakikat. Ini realpolitik.

United Malays National Organisation tahu siapa yang bercita-cita hendak menjadi Menteri Besar dalam Pas. Gerombolan mengetahui siapa dan siapa yang boleh di ‘makan’ di dalam Pas. Gerombolan juga tahu siapa yang bermimpi siang dan malam – pagi dan petang - untuk menjadi menteri kabinet dalam kerajaan Najib Rosmah.

Ini juga hakikat realpolitik. Menafikan ini adalah menafikan bahawa manusia, haiwan dan tumbuhan hidup di alam ini kerana ada cahaya matahari.

United Malays National Organisation akan terus mengasak untuk ‘berunding’ dengan Pas. Akan terdengar suara suara lantang menolak. Akan terdengar suara-suara pimpinan Pas menafikan itu dan ini. Dalam realpolitik semua berkemungkinan. Dalam realpolitik yang dicita-citakan ialah kuasa. Dengan kuasa manusia berpelung menobatkan dirinya dan mengumpul harta.

Waspada ! Percubaan dan langkah-langkah yang diambil oleh Najib Rosmah untuk berunding dengan Pas ini tidak ada sangkut paut dengan Najib sebagai anak Razak. Kerana Razak dahulu berunding dengan Pas maka Najib sang anak juga akan berunding dengan Pas. Ini bukan bacaan politik. Ini sembang di warong Mek Jah. Dalam realpolitik yang hakiki ialah kuasa.

Keinginan berunding dengan Pas ini adalah perhitungan realpolitik. Ini kerana sesudah pilihanraya yang lalu United Malays National Organisation telah dilihat sedang menuju ke hari hari akhir. Justeru untuk menyelamatkan harta kekayaan - perpaduan Pakatan rakyat yang kompak wajib di lemahkan. Kota yang kukuh wajib di bocorkan. Setiakawan Pakatan Rakyat yang mekar wajib dikacau bilaukan. Pas wajib dipisahkan dari Pakatan. Kalau tidak semua – sebahagian. Ini perhitungan politik untuk menyelamatkan harta dan kuasa.

Lalu kita smapai ke strateji ke ketiga : mengharu birukan kerajaan Pakatan Rakyat. Kerajaan Pakatan Rakyat di Kedah dan Kelantan tidak perlu diganggu gugat kerana slogan – ‘kita semua Melayu dan kita semua Islam.’ Kerajaan Pakatan di Pulau Pinang boleh digugat tetapi ‘slow sikit’ kerana Dap ini lebih senang dikawal kerana Kecinaan mereka. Ahli gerombolan yang meninggalkan parti tidak mungkin akan menjadi ahli Dap. Malah Dap ini juga boleh dibawa berunding jika hari baik dan bulan baik – jika masa dan ketikanya telah ranum.

Justeru musuh utama ialah Parti Keadilan Rakyat dan Anwar Ibrahim. Lalu semua akan dilakukan untuk menggangu gugat kerajaan Pakatan di Selangor. Lembu, kambing, pasir, tayar kereta, surau , masjid, kuil , sekolah, kasut, punggung, jubur – malah apa sahaja yang bersangkutan dengan kerjaaan Selangor akan digunakan untuk menunjukkan kepada warga Selangor bahawa kerajaan Pakatan ini tidak perlu disokong.

Aparacik dan jentera kerajaan federal sedang digunakan oleh Najib Rosmah untuk melemahkan kerajaan Selangor. Kes demi kes telah dibuka oleh SPRM terhadap pimpinan kerajaan Selangor. Semua dilakukan untuk menekan agar ada Adun PKR yang akan berpaling tadah.

Media gerombolan telah digunakan hingga ke tahap maksimum untuk mengolah persetujuan orang ramai. Seluruh Malaysia cuba diberi tahu bahawa krisis yang amat besar sedang melanda kepimpinan kerjaan Selangor. Kerajaan Selangor ini akan runtuh bila-bila masa sahaja dan Khir Toyo boleh kembali berpesta ke Disneyland tanpa soal jawab.

Dimana akhirnya semua ini ? Dalam merancang realpolitik Anwar Ibrahim pasti akan diketepikan. Ini stratiji utama. Susuk ini tidak akan diberi peluang untuk bebas bergerak. Jika diikutkan hati nafsu Najib Rosmah susuk Anwar ini akan diketepikan sebelum piliharaya Serawak. Tetapi bagaimana nanti reaksi kawan-kawan Yahudi Anwar yang selalu diperkatakan itu? Dan bagaimana pula agen-agen CIA yang lain? – apakah mereka juga akan datang untuk membantu Anwar? Kini seperti lubang berak Saiful – senjata dan propaganda akan memakan tuanya.

Dalam realpolitik ada yang lebih real. Yang lebih real ialah kuasa rakyat. Kerajaan Selangor mungkin goyang tetapi tidak akan runtuh kerana akarnya semakin kukuh. Kuasa rakyat ini jugalah yang akan menentukan apa yang akan terjadi kepada Anwar Ibrahim.

Justeru United Malays National Organisation hanya ada satu pilihan : mengajak Pas datang berunding. Najib dalam keadaan ini akan menjanjikan apa sahaja. Kalau Pas meminta Najib melempang Muhyiddin – pasti Munyiddin akan kena satu pelempang. Kalau Pas meminta Najib menampar Khairy Jamaluddin – pasti Khairy akan di tampar. Seperti Sultan Mahmud meminang Puteri Gunung Ledang , Najib akan melakukan apa sahaja keculi Pas tidak akan dibenarkan bertanya berapa orang sebenarnya anak Rosmah Mansor. (TT)

Tuesday, July 13, 2010

UMNO & PAS KALAH KEPADA DAP

Oleh: Nobisha

Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) mengumumkan DAP mendahului pendaftaran pengundi baru di negeri-negeri Pulau Pinang, Johor, Selangor, Perak dan Negeri Sembilan sepanjang Mei lalu; sementara UMNO mendahului di Terengganu, PAS di Kelantan dan PKR di Wilayah Persekutuan.

Secara keseluruhannya, DAP mendahului dengan 13,174, diikuti UMNO (7,591), PAS (4,344), dan PKR (2,281). MCA, MIC dan Gerakan mencatatkan bilangan yang cukup rendah. Gerakan, sebagai contoh, hanya mendaftarkan 75 pengundi baru sepanjang tempoh tersebut.

Melihat kepada statistik ini (dan beberapa statistik lain) saya merumuskan bahawa DAP sebagai sebuah parti politik bukan saja mempunyai misi yang cukup jelas, tetapi juga gerak kerja yang terancang dan terarah. Sementara parti politik Melayu / Islam seperti UMNO dan PAS agak kurang strategik dalam soal ini.

Mereka masih terikat dengan politik lama berasaskan emosi. Sementara tidak salah untuk PAS bergantung kepada isu Islam untuk meraih undi dan UMNO memperjuangan hak-hak Melayu, politik baru menuntut pemimpin dan parti-parti politik untuk mengambil pendekatan yang lebih strategik. Aspek-aspek strategik ini termasuklah pengurusan pengundi dan pengurusan isu.

Mungkin ada yang berhujah bahawa PAS akan meraih keuntungan daripada pendaftaran pengundi DAP. Ya, memang betul sekiranya dilihat dalam jangka masa pendek. Dalam jangka masa panjang, PAS akan dilihat sebagai sebuah parti yang terpaksa bergantung kepada DAP untuk menang dan ini tidak baik untuk parti tersebut. Sebagai sebuah parti politik, PAS harus menunjukkan kemampuannya menguasai pengundi dan itu boleh meningkatkan martabatnya dalam Pakatan Rakyat.

Kesilapan paling besar yang berlaku dalam UMNO ialah di sesetengah bahagian, jentera pilihanraya tidak bergerak sehinggalah di saat-saat akhir. Tatkala itu, sudah terlewat untuk melakukan sesuatu yang strategik seperti pendaftaran pengundi.

Dalam hal ini saya fikir UMNO dan PAS kalah. Bukan kalah kepada satu sama lain, tetapi sama-sama kalah kepada DAP!

Monday, July 12, 2010

BERSEDERHANALAH WAHAI PEMIMPIN PAS

PESAN KETUA DPP PAS PUSAT:

Pemimpin PAS :
Ambillah Gaya Hidup
Yang Sederhana

1. Sebaik - baik perkara ialah pertengahannya [ sederhana ]
خير الأمور أوسطها.
Tidak melampau [ ifrat ] dan tidak terlalu bermudah - mudah . [ tafrit ] .

2. Sederhana adalah lambang keutuhan dan kemuliaan peribadi . Pemimpin yang hidup dalam kesederhanaan adalah pemimpin yang berjiwa besar justeru ia tidak dipengaruhi oleh nafsu tamak dan gelojoh .

3. Pemimpin yang mengambil gaya dan cara hidup secara sederhana juga merupakan pemimpin yang hebat justeru ia tidak terpedaya dengan bujukan nafsu dan syaithan untuk bermudah - mudah atau meringan - ringankan amanah dan tanggungjawab sebagai seorang hamba terhadap tuhannya .

4. Kini rata - rata pemimpin PAS menang pilihanraya menjadi wakil rakyat samaada diperingkat DUN atau parlimen malah ada yang bergelar Menteri Besar dan exco kerajaan negeri . Alhamdulillah , ianya satu penghormatan dan kepercayaan rakyat kepada PAS . Namun berwaspadalah , agar lifestyle kalian masih kekal utuh dalam frame seorang pemimpin yang beriman , bertaqwa , berakhlak dan sederhana .

5. Usah terpedaya dan terpengaruh dengan cara hidup orang lain apatah lagi musuh . Sekalipun kalian memang layak dan memiliki kekayaan melalui cara yang benar dan halal , namun ambil lah hukum wara' atau zuhud dalam kepimpinan dan penampilan kalian . Usah bermewah dengan harta yang dimiliki tetapi tidaklah sampai kelihatan selekeh , lusuh dan tidak ceria . Sederhanalah dalam segalanya .

6. Wara' bukan bermaksud berjalan tunduk tanpa mendongak wajah dan zuhud pula bukan bermakna selekeh tanpa set pakaian yang baru dan kemas . Tetapi wara' dengan maksud tidak berlebih - lebih menggunakan nikmat kekayaan halal yang kita miliki sementara zuhud pula ialah menggunakan nikmat kekayaan yang dimiliki tanpa hati terpengaruh dan terpaut padanya.

7. Gerakan Islam seperti PAS selayaknya mendokong feqh wasatiah [ kesederhanaan ] ini dalam usaha mendapatkan tempat di sisi Allah swt dan menarik sokongan rakyat kepada perjuangan suci yang didokong . Rata -rata manusia tidak senang dan muak dengan manusia yang berlebih - lebihan dalam penampilan gaya hidup serta menunjuk kaya dan mewah mereka.

8. Feqh wasatiah bukan hanya dipakai dalam aliran pemikiran dan prinsip hidup tetapi juga dalam penampilan , cara dan gaya hidup [ lifestyle ] . Janganlah setahun dua jadi wakil rakyat , perubahan ketara dan mendadak berlaku dalam hidupnya seperti membina rumah besar , memiliki kenderaan baru dan mahal .

9. Bukanlah salah memiliki rumah luas dan kenderaan yang baik , tetapi bersederhanalah . Jika tidak , pemimpin PAS akan kehilangan haibah [ kehebatan ] dan quwwah [ kredebiliti ]. Sifat dan amalan sederhana mendekatkan pemimpin PAS dengan rakyat marhain. Mudahnya amalan bersederhana ini ialah mengambil sesuatu seperlunya . Jika ia perlukan rumah 5 bilik dengan jumlah keluarganya yang ramai maka milikilah , ia menepati keperluan . Demikianlah kenderaan , jika perlukan kenderaan yang baik kerana keperluannya berjalan jauh saban hari mengambil undangan amal islami yang diperjuangkan , maka ambillah justeru ia menepati keperluan . Apa yang tidak disenangi ialah berlebih - lebihan dari had keperluan dan bermewah - mewah .

10. Kita tidak mahu menjadi pemimpin parti yang petah mengungkap serta meriwayat contoh zuhud dan wara'nya Tuan Guru Hj Nik Abd Aziz , Tuan Guru Hj Abd Hadi dan Ust Azizan Razak , walau mereka dipuncak kuasa tetapi tetap :

  • tinggal di kediaman asal yang serba sederhana ,
  • nilai pakaian mereka seperti rakyat awam ,
  • mereka mengamalkan jimat cermat dalam kehidupan sehariannya ,
  • keraian mereka tidak mewah
  • elaun mereka dikembalikan kekantung pembendaharaan negeri
tetapi malang , jika kita sendiri gagal untuk mencontohinya .